CABARAN PROFESIONALISME KESENIBINAAN
2.2.2 Pemansuhan perundangan / Deregulation
2.4.2 Serangan oleh profesion Jurukur Bahan
2.4.3 Serangan oleh profesion Perancang Bandar
2.4.4 Potensi serangan oleh profesion Arkitek Lanskap, Pereka Dalaman, Penilai
2.4.5 Tindakan Defensif untuk memelihara profesion.
2.5 Pemansuhan perundangan / Deregulation
2.6 Satu saranan penyelesaian
2.0 CABARAN PROFESIONALISME KESENIBINAAN
Hari ini, kita telah menyaksikan sebahagian dari hak dan penghormatan yang diberikan kepada arkitek sebagai pemimpin industri pembinaan dikikis oleh tekanan alam perniagaan yang berubah. Saya berpendapat (dan pastinya pendapat saya ini akan disangkal) bahawa hakisan ini dimungkinkan oleh kealpaan kita sendiri. Untuk sekian lama kita beranggapan bahawa kedudukan kita yang selesa malah dilindungi oleh undang-undang akan kekal selama-lamanya. Keselesaan menumpulkan semangat dan daya juang langsung menjadikan kita alpa kepada arus perubahan yang mengalir di sekeliling kita. Lebih malang lagi kita gagal melihat perubahan yang berlangsung dihadapan kita dan bersikap defensif malah apologetik dalam menangani cabaran. Masa depan kita sebenarnya semakin kelam, kalau kita tidak mahu bangkit dari tidur yang diulit mimpi selesa masa silam. Kita akan bangkit di satu hari mendapati segala yang menyelimuti kita telah bertukar menjadi igauan yang seram. Sebahagian daripada perubahan yang melanda kita sebenarnya bersifat kekal dan tidak mungkin dapat dikembalikan kepada asalnya. Inilah hakikat yang pertama harus kita akur. Kalau kita mahu menghalang hakisan yang berterusan pada apa juga yang masih tinggal berbaki, kita harus berani berdiri dan mengakui bahawa kita telah tersilap mentafsirkan kehendak dan keperluan masa yang berubah. Dan dari kedudukan sedar itu kita merancang langkah membina benteng agar hakisan dapat dibendung dan sempadan baru dapat kita bina.
Tidak ada sesuatu yang lebih berbisa, dari idea yang waktunya telah sampai.
2.1 Globalisasi dan WTO
Globalisasi adalah idea besar yang telah tiba waktunya. Cabaran dan tekanan yang dibawa oleh globalisasi serta peraturan baru dalam orde perdagangan dunia di bawah WTO [World Trade Organisation] merupakan cabaran yang terbesar yang perlu dihadapi oleh profesion senibina. Untuk membolehkan produk negara [termasuk perkhidmatan] dijual dipasaran luar, segala sekatan yang menghalang kebebasan kepentingan luar daripada berniaga di negara kita perlu dihapuskan. Perlindungan oleh Akta Arkitek misalnya merupakan salah satu diantara banyak perlindungan peringkat negara yang sedang cuba dihapuskan dibawah peraturan perdagangan antarabangsa. Kerajaan dan pembuat dasar berada dalam keadaan yang sukar untuk memikirkan samada untuk terus melindungi profesion senibina atau membuka profesion ini sebagai tukaran kepada pembukaan lapangan perniagaan yang lebih besar dan lebih menguntungkan negara di pasaran luar. Penghapusan perlindungan ini akan membuka praktis kesenibinaan kepada pengamal dari luar negara dan jika tidak dikawal, mampu menghapuskan daya saing dan keujudan pengamal tempatan.
Cabaran globalisasi perdagangan boleh dihadapi samada secara defensif ataupun melalui pendekatan yang rasional dan menguntungkan dalam jangkawaktu yang panjang. Secara defensif, kita dalam profesion senibina boleh melalui lobi politik meminta kerajaan mempertahankan sekatan yang ada. Namun demikian, kita tidak boleh bersikap terlalu mementingkan kepentingan profesion sahaja sedangkan negara mengalami kerugian dalam perdagangan seluruhnya. Kita adalah sebahagian daripada negara ini dan apa juga kepentingan dan keuntungan yang diperolehi oleh negara, kemakmuran yang menyeluruh akan akhirnya dikecapi oleh pengamal profesion itu sendiri.
2.1.1 Tentangan kepada pembukaan pasaran
Akta Arkitek digubal bukan semata-mata untuk mempertahankan golongan pengamal praktis kesenibinaan tetapi lebih utama ianya melindungi kepentingan rakyat yang berhadapan dengan profesion ini dalam kehidupan dan perniagaan mereka. Mempertahankan kepentingan profesion dalam bentuk yang sediada bererti mepertahankan kepentingan rakyat dan perniagaan yang dilindungi oleh undang-undang itu dan jelas ada baiknya. Kebaikan yang dapat diperolehi melalui pengekalan perlindungan dapat digariskan di bawah;
2.1.1.1 Kepentingan ekonomi
Praktis kesenibinaan tidak dapat dipisahkan daripada industri pembinaan yang berkait rapat dengan pembangunan dan kemajuan negara. Dalam iklim ekonomi semasa misalnya, industri pembinaan merupakan pemangkin dan penjana gerakan ekonomi negara dan penghapusan perlindungan yang dibuat tanpa kajian yang mendalam akan memberi kesan kepada ekonomi seluruhnya. Pemansuhan perlindungan dan efek akhir [nett effect]nya yang memupuskan profesion kesenibinaan akan melenyapkan salah satu cabang perkhidmatan yang penting dalam ekonomi negara serta mengakibatkan diperingkat mikro kehilangan pekerjaan dan perniagaan di kalangan pengamal tempatan. Di peringkat makro, ianya akan mewujudkan penggantungan (dependency) yang melampau oleh industri pembinaan kepada perkhidmatan luar. Penggantungan sedemikian menghapuskan daya saing industri bukan hanya di peringkat tempatan malah akan sama sekali menghapuskan potensi mereka untuk bersaing di pasaran luar.
2.1.1.2 Penerusan profesion
Profesion senibina hari ini menyediakan peluang perniagaan kepada pengamal praktis dan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan secara langsung kepada ribuan graduan senibina dan lulusan institusi teknikal. Walaupun tanpa kajian yang khusus mengenainya, sumbangan profesion ini dalam ekonomi sebenar (real economy) adalah besar dan bernilai tinggi. Membuka profesion kepada pengamal luar akan menyebabkan kemungkinan praktis tempatan dibayangi oleh praktis luar yang mempunyai daya saing yang lebih baik samada melalui pengalaman mereka yang lebih luas atau kos mereka yang lebih kompetitif. Pengamal tempatan akan menghadapi saingan dari dua hala iaitu pengamal dari negara maju dalam kategori pertama dan pengamal dari negara membangun lain yang lebih mundur dalam kategori kedua. Kehilangan peluang perniagaan akan memungkinkan berakhirnya kerjaya dalam profesion dan menyebabkan kehilangan pekerjaan di kalangan rakyat.
2.1.1.3 Perlindungan perundangan untuk rakyat tempatan
Perlindungan undang-undang menggariskan tanggung-jawab yang dipikul oleh arkitek kepada pengguna, perniagaan dan kerajaan. Beberapa akta yang berkaitan dengan industri pembinaan dan pembangunan seperti Akta Pemaju Perumahan dan Akta Kerajaan Tempatan [Undang-undang Kecil Bangunan] antaranya meletakkan beberapa tanggung-jawab perundangan ke atas arkitek. Sekiranya akta ini dihapuskan bagi memberi ruang kepada individu dan praktis luar negara, maka perlindungan yang diberikan kepada orang awam melalui akta-akta di atas akan tidak lagi memberi makna. Dalam kata lain jurisdiksi perundangan tempatan tidak akan berkuasa mengambil apa-apa tindakan di atas kesilapan atau kecuaian mereka, langsung merugikan rakyat tempatan. Mengekalkan perlindungan bererti menjamin kepentingan rakyat.
2.1.1.4 Tukaran luar
Kegawatan ekonomi telah menunjukkan dengan jelas kesan daripada pergantungan negara terhadap perhidmatan luar yang menyebabkan aliran keluar tukaran wang asing yang besar. Ianya mempunyai kesan jangka panjang yang boleh meruntuhkan ekonomi negara. Selain daripada kesan langsung ini, berlaku pula kesan sampingan yang disebabkan oleh pemilihan bahan binaan dan barangan import yang ditentukan oleh spesifikasi perunding luar. Dalam beberapa projek besar di mana perkhidmatan perunding luar digunakan, tindakan mereka yang lebih mengutamakan jenama negara asal mereka daripada jenama tempatan adalah merugikan industri tempatan. Penggunaan perkhidmatan perunding tempatan tidak hanya akan menyelamatkan tukaran asing malah sifat patriotisme boleh membantu menjana industri bahan binaan dan kepakaran tempatan.
2.1.2 Sokongan kepada pembukaan pasaran
Sokongan kepada pembukaan pasaran kepada praktis luar serta penghapusan sekatan yang diberikan oleh Akta Arkitek secara umumnya tidak popular di kalangan arkitek. Ia dilihat sebagai satu paksaan untuk arkitek melepaskan kedudukan mereka yang istimewa. Namun demikian profesion ini harus berani berhadapan dengan kenyataan bahawa perubahan ini tidak dapat lagi dielakkan dan kepentingan ekonomi negara yang lebih besar harus diberi keutamaan. Atas dasar ini kita perhatikan beberapa kebaikan yang dapat diperolehi daripada pembukaan pasaran tersebut.
2.1.2.1 Pembukaan pasaran luar
Peraturan dibawah WTO umumnya bersifat dua-hala. Negara yang menerima peraturan WTO mempunyai hak yang serupa untuk mendapatkan balasan yang sama dari negara ahli yang lain. Membuka pasaran bererti menerima peluang untuk memasarkan barangan dan perkhidmatan kepada negara luar. Malaysia, dengan pengalaman pembangunannya yang pesat dan bertaraf dunia, mempunyai kemampuan untuk memasuki pasaran pembangunan di negara yang lebih maju dengan kelebihan kos yang secara realifnya lebih rendah, dan jelas mempunyai kelebihan dalam pembangunan negara ketiga. Di Asia sahaja misalnya potensi pasaran pembangunan di Cina dan Indo-Cina antaranya adalah amat besar dan menanti untuk dilaksanakan. Bagaimanapun seperkara yang harus diingat dalam isu ini adalah, tidak ada negara yang akan memberikan jalan mudah kepada negara lain untuk memasuki pasaran dan sekatan dalam bentuk-bentuk yang lain akan dikenakan sebagaimana kita juga menentang pembukaan pasaran kita kepada luar.
2.1.2.2 Pemindahan teknologi
Pemindahan teknologi merupakan antara aspek penting yang dicanang oleh penyokong pembukaan pasaran. Kemasukan firma-firma besar dari luar memungkinkan akitek dan firma tempatan yang kecil bergabung tenaga dan melalui usahasama yang sihat belajar dari pengalaman dan kepakaran mereka. Saya tekankan konsep usahasama sihat kerana usahasama dalam bentuk yang sehala; arkitek tempatan menjadi 'rubber-stamp' bagi arkitek luar, pengeluaran rekabentuk yang dibuat diluar negara, kemasukan kakitangan utama dari luar dan peminggiran arkitek tempatan sebagai hiasan dinding semata-mata, semua ini tidak akan membantu pemindahan teknologi tersebut.
2.1.2.3 Rangkakerja perundangan antarabangsa
Kemasukan arkitek luar dan perniagaan yang bersifat antara-bangsa akan memerlukan satu rangkakerja perundangan baru yang diterima dan dihormati oleh semua pengamal dari dalam dan luar negara. Undang-undang yang berkaitan dengan industri ini akan perlu dikaji dan digubal semula bagi (1) mempastikan hak-hak pengguna akhir dapat dipertahankan dalam apa juga keadaan, (2) hubungan perundangan antara rakan kongsi dapat diselaraskan.
2.1.3. Jalan tengah yang teratur
Globalisasi dalam bentuk yang ideal adalah suatu perkara yang mustahil. Dari masa kesemasa dan dari negara ke negara yang lain akan ujud satu bentuk perlindungan yang diberi nama dan wajah baru yang berbeza. Hakikatnya tidak ada kerajaan yang baik yang akan mengenepikan kepentingan rakyatnya semata-mata untuk memberi peluang kepada peniaga dari luar. Mengambilkira tentangan dan sokongan serta kebaikan dan keburukan pembukaan pasaran adalah perlu diambil jalan tengah yang boleh diterima oleh semua pihak tanpa memperjudikan nasib segolongan yang lain. Profesion kita perlu bersikap terbuka dan menerima perubahan dalam cuaca perniagaan dunia hari ini sambil bergerak memperbaiki kelemahan yang ada.
2.1.3.1 Pembukaan pasaran yang berjadual
Kesan daripada pembukaan pasaran tempatan kepada praktis luar secara mendadak dan tergesa-gesa akan menimbulkan kesan negatif kepada 'survival' praktis tempatan. Perubahan perlu dibuat dalam satu masa yang wajar dan jadual perlaksanaan perubahan ini perlu diwar-warkan agar praktis tempatan dapat membuat persediaan perlu yang secukupnya. Lembaga Arkitek Malaysia dan Pertubuhan Arkitek Malaysia harus bersama-sama dengan profesion lain berbincang secara konstruktif dengan Kerajaan bagi mempastikan jadual ini bukan sahaja munasabah malah memberikan masa dan peluang yang sama kepada praktis tempatan bergerak mencari pasaran luar.
2.1.3.2 Tuntutan pembukaan pasaran luar
Dalam kita memberi izin kepada praktis luar memasarkan perkhidmatan mereka di sini, satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengenalpasti halangan-halangan dipasaran luar perlu dikenalpasti. Kita perlu bersama-sama dengan Kerajaan bertindak mempastikan halangan-halangan yang dikenal pasti ini dipaparkan dimeja rundingan dan apa juga konsesi yang diberikan oleh praktis tempatan dibalas dengan konsesi serupa di pihak luar.
2.1.3.3 Undang-undang yang diperkemaskan
Undang-undang negara harus pertama sekali mengambilkira kebajikan rakyat negara ini sendiri. Perdagangan antarabangsa khususnya pembukaan pasaran perkhidmatan akan mendedahkan rakyat tempatan baik dari golongan pengamal profesion, peniaga hinggalah kepada masyarakat pengguna kepada suasana yang baru dan berbeza. Akta-akta perundangan tempatan khususnya undang-undang kontrak dan undang-undang kawalan profesion perlu dikaji semula agar apa juga perlindungan yang dimaksudkan kepada rakyat tempatan akan terus dipertahankan. Akta Arkitek misalnya melindungi pengguna daripada arkitek tempatan yang cuai dan bersalah. Dalam bentuk semasa, Akta ini tidak mendaftar atau mengawal perlakuan arkitek dari luar. Sebarang manipulasi oleh mereka ke atas pengguna tempatan akan berakhir dengan mereka melarikan diri ke negara asal. Ini hanyalah satu contoh, namun ianya menggambarkan dengan jelas betapa banyak aspek-aspek lain dalam perundangan yang perlu dikaji dengan teliti dan diperkemaskan sebelum pembukaan pasaran kepada perkhidmatan luar dapat diberi izin.
2.2 Perubahan dan perkembangan undang-undang
Undang-undang bukan suatu perkara yang statik dan ianya perlu berubah menurut perkembangan dan tuntutan masa. Dari masa kesemasa, akta-akta baru digubal, akta sedia ada dipinda dan dikemaskini. Perubahan dalam tuntutan dunia perniagaan mengujudkan perkhidmatan-perkhidmatan dan amalan baru yang akan memerlukan kawalan yang berbeza. Dalam perkhidmatan arkitek, hal ini bukanlah suatu perkara yang baru. Perkhidmatan ukur bahan misalnya berasal daripada satu cabang perkhidmatan arkitek tetapi kemudiannya berkembang menjadi perkhidmatan yang khusus. Cuma bezanya apabila perkhidmatan ukurbahan menjadi satu bidang tersendiri, hak arkitek untuk mengamalkan praktis ukur bahan tidak dinafikan. Hari ini, dalam kelalaian kita menghadapi perubahan, kita dikejutkan dengan tekanan dari bidang-bidang lain pula seperti perancang bandar dan pengurusan projek. Perancang Bandar dengan gerakan dan usaha yang teratur telah berjaya melahirkan Akta Perancang Bandar dan arkitek tiba-tiba mendapati hak-hak mereka dinafikan. Dalam pada itu, penggubalan beberapa akta yang baru, serta keputusan mahkamah mendedahkan arkitek kepada tanggungjawab baru yang tidak dijangka sebelumnya. Dan sepertimana sebahagian kita menentang kehilangan hak yang sedia ada, sebahagian kita juga menentang kewajiban baru. Inilah sebenarnya dilema kita sebagai pengamal praktis. Kita lebih suka bersikap reaktif kepada perubahan sedangkan kita sepatutnya bersikap pro-aktif dan mendahului perubahan.
2.2.1 Penghakisan hak sebagai arkitek
Penghakisan hak sebagai arkitek berlaku (1) akibat salah faham daripada penggubalan akta-akta baru yang memberi kuasa kepada profesion lain atau (2) pengenepian peranan arkitek dari tugas tradisi mereka. Perkara ini akan dibincang secara mendalam di bawah topik 'Praktis dalam Lingkungan Perundangan'.
2.2.2 Pemansuhan perundangan / Deregulation
Dalam tahun-tahun akhir 80an hingga pertengahan 90an, profesion senibina dikejutkan oleh ura-ura untuk menghapuskan akta arkitek ataupun menghakis atau mengubah bentuk perlindungan yang diwujudkan dibawah akta tersebut. Konsep ‘deregulation’ ini merupakan satu lanjutan daripada usaha-usaha yang serupa yang dibuat di England dan Australia dibawah Productivity Council [Majlis Pengeluaran] yang berpendapat bahawa perlindungan yang dibuat dibawah Akta Arkitek atau akta-akta profesional yang serupa adalah merupakan satu halangan kepada peningkatan pengeluaran, bertentangan dengan konsep penentuan harga yang ditentukan oleh bekalan dan permintaan serta merupakan satu bentuk ‘perlindungan’ yang tidak selari dengan gerakan pasaran terbuka.
Mujurlah untuk sementara waktu, idea ini dikesampingkan setelah kajian yang dibuat menunjukkan pengekalan Akta itu lebih baik daripada pemansuhannya. Kita hanya boleh menarik nafas lega seketika kerana, idea memansuhkan Akta itu jelas datang daripada kuasa-kuasa perniagaan yang berkepentingan dan tidak mustahil kekuatan ekonomi-politik mereka akan digunakan sekali lagi di masa akan datang. Sekali lagi pertahanan kita adalah dengan memelihara dan memperkukuhkan kedudukan yang ada lebih penting lagi kita perelu bertindak dengan kemas dan tegas dalam memelihara nama baik profesion.
2.2.3 Peranan dan kewajiban baru
Penggubalan beberapa akta yang baru ataupun pindaan kepada akta-akta sediada khususnya dalam bidang yang berkaitan dengan pembinaan, perumahan atau pembangunan memberi kesan secarang langsung kepada peranan dan kewajiban arkitek. Perkara ini akan dibincang secara mendalam di bawah topik 'Praktis dalam Lingkungan Perundangan'. Apa yang perlu difahami dengan jelas adalah tentang ujudnya keperluan terhadap hak, peranan dan kewajiban di atas seorang arkitek dan keperluan ini sentiasa berubah. Dinamisma perundangan wajar diambil perhatian oleh arkitek sepanjang masa untuk mengelak daripada terus berada dalam kejahilan.
2.3 Cabaran baru alam perniagaan
Dunia perniagaan hari ini bersifat dinamik dan sentiasa peka kepada perubahan. Perkembangan teknologi dan peraturan baru perdagangan dunia telah mengubah lanskap perdagangan dan aturan lama yang sedia terpakai tepaksa berubah sama jika tidak mahu berakhir sebagai dinosour yang pupus.
2.3.1 Konsep ketelusan dalam perniagaan
Praktis senibina dalam bentuk sediada tidak dapat dinafikan adalah remnan dari sistem tertutup yang melindung dan meletakkan eksklusiviti kepada satu golongan. Sifat profesion ini mendedahkan kita kepada tanggapan bahawa kita mengamalkan cara perdagangan yang reklusif dan tidak terbuka. Tanpa menafikan kebaikan yang ada dan kepentingan perlindungan seperti yang disebut dalam artikel ini, kita juga perlu bersedia dengan perubahan semasa. Persoalan yang sering ditanya adalah samada kita perlu mempertahankan institusi kesenibinaan dalam bentuknya yang ada sekarang atau mengambil langkah awal melaksanakan perubahan sebelum perubahan yang lebih besar melangkah melampaui kita.Dunia perniagaan hari ini lebih terbuka dan menutut ketelusan dalam kaedah, transaksi dan perlaksanaan. Kepentingan perniagaan yang besar mengubah aturan perniagaan dan memaksa profesion kita menjadi pengikut yang malang. Perlaksanaan sistem 'design and built' misalnya mencabar profesion dari beberapa aspek. Pertama, ia mencabar peranan 'agen' dan 'orang tengah' yang selama ini kita pegang. Kedua kita mendapati kuasa yang diberikan dibawah tanggungjawab 'Pegawai Penguasa' dikesampingkan oleh profesion baru yang tidak dikawal. Secara defensif kita boleh berkata ianya tidak harus berlaku. Hakikatnya ia telah dan sedang berlaku dan hakikat tidak boleh dinafikan. Secara peribadi saya berpendapat bahawa keujudan sistem baru seperti 'design and built' (dan mungkin banyak lagi sistem yang serupa) ini adalah akibat dari kekecewaan pasaran terhadap kegagalan kita melaksanakan amanah yang telah sekian lama diberikan khususnya atas sikap kita yang tertutup dan lambat mengesan dan menghadapi perubahan. Pengalaman saya secara peribadi dalam industri pembinaan bukan bangunan, terutama sekali dalam sektor minyak dan gas membuka mata saya bahawa sistem yang kita amalkan hampir tidak dipakai dalam industri yang lebih besar. Di tempatnya diganti dengan sistem yang lebih telus dan terbuka. Sistem perlaksanaan yang memakai nama EPCC/Engineering, Procurement, Construction and Commissioning (Rekabentuk, Pembelian, Pembinaan dan Pentauliahan), Profit-sharing (Perkongsian keuntungan), Partnering (Usahasama) dan sebagainya mengambil tempat sistem tender yang kita amalkan. Ironinya, sistem tersebut merupakan perkembangan dan lebih tepat lagi perekayasaan (re-engineering) bagi sistem sediada. Kita tertidur seperti arnab yang keletihan dan membiarkan orang lain mengambil sesuatu yang ada pada kita, mengkaji kelemahannya kemudian mencipta sesuatu yang baru dan lebih baik. Kelebihan dalam sistem-sistem baru ini adalah dalam ketelusannya yang memungkinkan semua pihak terutama pemilik dan pengguna akhir membuat pilihan dan keputusan yang terbaik sepanjang perlaksanaan.
2.3.2 Prinsip kesaksamaan dan situasi menang-menang
Dalam sistem tender yang umum dipakai dewasa ini, arkitek mempunyai peranan yang penting diperingkat perlaksanaan untuk bertindak sebagai orang tengah di antara pemilik dan kontraktor. Perubahan kepada sistem perolehan projek kepada 'Design & Built' misalnya mengubah peranan kita apabila keterbukaan dan ketelusan menjadi amalan dan hak semua pihak dipelihara sepanjang masa oleh semua pihak. Kita tidak menafikan kemungkinan sistem ini juga akan disalahguna namun konsep pengawalan telah menjadi berbeza. Kita sebagai arkitek terpanggil untuk lebih berfungsi dengan tahap profesionalisme yang lebih tinggi dan memastikan tiada pihak yang mengalami kekurangan dan kerugian sepanjang masa dan tidak lagi sebagai pengadil dalam mentafsirkan kekeliruan semata-mata.
Umumnya, amalan perniagaan hari ini semakin bergerak kearah perkongsian bijak yang menolak manipulasi satu pihak dan diganti dengan pertimbangan kesaksamaan dan amalan menang-menang (win-win situation).
2.4 Serangan oleh profesion lain
Profesion baru yang wujud daripada perkembangan dalam industri pembinaan setakat ini telah berupaya menonjolkan diri mereka sebagai alternatif kepada arkitek sebagai pemimpin industri. Melalui gerakan yang teratur mereka telah berjaya mengenepikan sedikit demi sedikit hak dan peranan yang telah selama ini dimainkan oleh arkitek. Gerakan mereka tidak banyak bezanya seperti gerakan yang dibuat oleh badan profesional yang lain malah lebih berbisa kerana gerakan mereka ditujukan kepada industri secara langsung. Dalam tahun-tahun akhir 1990an misalnya, arkitek dan perunding-perunding lain termasuk jurutera dan jurukur bahan dikejutkan apabila Kerajaan bertindak melantik firma-firma Pengurusan untuk melaksanakan projek-projek di bawah konsep 'Design & Built bagi sekolah-sekolah satu sesi. Arkitek khususnya mendapati diri mereka dibawah arahan pihak lain iaitu Kontraktor yang selama ini di bawah penyeliaan mereka dan menyedari betapa sukarnya mereka mengubah cara kerja mereka yang diamalkan sejak sekian lama. Samada pendekatan baru ini berjaya atau tidak dalam memberikan kepuasan kepada kerajaan dari segi penyiapan dan penyerahan mutu kerja yang lebih baik daripada yang dicapai dalam kaedah konvensional, sukar untuk ditentukan pada saat ini. Namun demikian ia menandakan permulaan kepada satu perubahan yang akan terpaksa diakuri serta akan merubah lanskap profesion perundingan seluruhnya.
Secara peribadi saya berpendapat bahawa perubahan seperti ini berpunca daripada 2 aspek:
(1) Kegagalan profesion arkitek mengenalpasti perubahan dan tuntutan industri yang berkembang pesat, dan
(2) Kekecewaan pemain-pemain industri atas praktis kesenibinaan dan perundingan secara keseluruhannya.
Sebahagian daripada aspek ini telah disentuh dalam perenggan di atas. Memikirkan penyelesaiannya harus bermula dengan kita melihat ke dalam diri kita sedalam-dalamnya.
2.4.1 Perebutan kepimpinan industri
Untuk sekian lama, arkitek dianggap sebagai 'de-facto' pemimpin industri pembinaan. Untuk sekian lama itulah, industri pembinaan menerima sahaja apa juga masalah dan kekurangan 'pemimpin' mereka. Suatu hari, mereka mendapati masalah itu sudah terlalu besar dan mereka bangkit mencari pemimpin baru.
Dalam industri pembinaan, kontrak PAM telah diterima-pakai untuk puluhan tahun sekalipun rungutan tentang kelemahannya kerapkali disebut. Kuasa arkitek sebagai Pegawai Penguasa (Superintending Officer) menjadi keutamaan dan penerimaan industri kepada kedudukan arkitek sebagai Pegawai Penguasa mencerminkan kepimpinan arkitek diterima. Apabila Kontrak Piawai CIDB 1999 dicetak, kuasa arkitek sebagai Pegawai Penguasa tiba-tiba dikesampingkan. Itupun dilakukan dengan (kalau tidak dengan izin) pengetahuan wakil-wakil dari Pertubuhan Arkitek Malaysia sendiri. Episod ini memberi beberapa gambaran iaitu
(1) Industri pembinaan tidak lagi mengiktiraf peranan kepimpinan arkitek dan
(2) Arkitek sendiri tidak lagi mengganggap perlu mempertahankan kedudukan mereka sebagai pemimpin industri.
2.4.2 Serangan oleh profesion Jurukur Bahan
Dari sudut sejarah jurukur bahan merupakan satu cabang dalam profesion arkitek yang dikhususkan untuk tugas-tugas mengira dan menganggarkan harga. Ia kemudiannya berkembang menjadi satu profesion sendiri dan perkembangan itu sebenarnya didokong oleh arkitek sendiri.
Apabila Akta Jurukur Bahan diwartakan, jurukur bahan-jurukur bahan di Malaysia mengambil satu tindakan bersama untuk melobi agar hak arkitek yang secara tradisinya ujud untuk melaksanakan fungsi penilaian dinafikan. Untuk seketika, profesion arkitek tercabar dan terpaksa mengambil langkah defensif yang memerluka Akta Arkitek dipinda.
Akta Arkitek 1967(Pindaan) 1992 di bawah peruntukan Perkara 8 (1) dan (2) memberikan 2 hak yang dikawal oleh undang-undang untuk seorang Arkitek melaksanakan
1. Hak untuk mengemukakan pelan kepada individu atau pihak berkuasa
2. Hak untuk melakukan penilaian ke atas bangunan, struktur, logi, mesin dan peralatan yang berkaitan dengan bangunan dan bidang tugas profesionalnya.
2.4.3 Serangan oleh profesion Perancang Bandar
Sejak penggubalan Akta 538 / Akta Perancang Bandar 1995 profesion arkitek menghadapi satu tekanan dan cabaran yang besar dan tidak pernah dialami sebelumnya. Perancang bandar di peringkat negeri dan daerah secara unilateral mentafsirkan pemakaian undang-undang tersebut sebagai satu halangan mandatori atau sebagai satu hak untuk menghalang arkitek dari melaksanakan tugas merancang dan mengemukakan pelan tata-atur termasuklah pelan-pelan bangunan yang melebihi 5 ekar. Hal ini berlaku sekalipun Akta Perancang Bandar itu sendiri dengan jelas menyatakan ianya tidak menyentuh hak-hak yang terkandung dalam undang-undang sedia ada.
Umumnya kita berpendapat bahawa tindakan sesetengah pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan syarat wajib pengemukaan pelan perancangan oleh Perancang Bandar adalah merupakan tindakan dari kegagalan mereka (PBT) memahami konsep dan asas perundangan di sebalik Akta Perancang Bandar 1995 khususnya peruntukan perkara 13 (2) yang diturunkan semula di bawah.
13. Hak
(1) Tiap-tiap Perancang Bandar berdaftar berhak-
(a) menyediakan rancangan pemajuan seperti rancangan struktur dan rancangan tempatan bagi maksud Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976;
(b) menjalankan kajian perancangan pembangunan bandar, luar bandar dan wilayah, dan kajian kebolehlaksanaan dan penilaian kesan alam sekitar berhubungan dengan kegunaan tanah: dan
(c) menyediakan dan mengemukakan permohonan kebenaran merancang, susunatur pecah bahagian, lakaran dan lapuran perancangan kepada mana-mana orang atau pihak berkuasa awam bagi maksud membangunkan mana-mana tanah.
(2) Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini boleh menjejaskan hak mana-mana orang lain dibawah mana-mana undang-undang bertulis lain untuk membuat mana-mana perkara di bawah perenggan (a), (b) dan (c) sub-seksyen (1)
Lembaga Arkitek dan Pertubuhan Arkitek Malaysia menyedari kerumitan dan masalah yang dihadapi oleh tindakan beberapa Majlis Tempatan, Perbandaran dan Bandaraya ini telah terpaksa mengambil langkah beberapa hala yang termasuk mengemukakan bantahan resmi, mengadakan sesi-sesi penerangan serta melobi agar Akta Arkitek dipinda atau diperjelaskan bagi menjelaskan hak arkitek yang sedia ada. Malah pada satu ketika tindakan saman hampir diambil untuk memaksa PBT suapaya menima pelan-pelan arkitek. Mujurlah setelah dibuat usaha yang bersungguh-sungguh, profesion arkitek menerima simpati dan perhatian dari Menteri Kerja Raya dan jika tiada aral melintang, pindaan yang akan dibentangkan di Parlimen pada sidang parlimen 2002 akan memutuskan permasalahan ini secara muktamad.
2.4.4 Potensi serangan oleh profesion Arkitek Lanskap, Pereka Dalaman, Penilai
Kegagalan profesion arkitek secara seluruhnya untuk menjangkakan cabaran dari profesion Jurukur Bahan dan Perancang Bandar telah menyebabkan kita melalui beberapa detik yang keliru dan keruan. Dalam masa yang terdekat beberapa pertubuhan profesional yang baru serta juga pertubuhan profesional yang sedia ada akan terus melobi untuk mendapatkan sebahagian daripada keistimewaan dan hak arkitek kalaupun tidak menafikannya sama sekali. Penubuhan pertubuhan profesional yang baru oleh profesion pereka dalaman, arkitek lanskap dan penilai adalah cabaran yang mendekat. Pertubuhan ini mengarahkan halatuju dan matlamat mereka kepada pengiktirafan undang-undang dan pewartaan Akta mereka sendiri. Bila mereka berjaya, mereka akan mengulangi tindakan oleh Jurukur Bahan dan Perancang Bandar dan sekali lagi Arkitek akan tercabar.
2.4.5 Tindakan Defensif untuk memelihara profesion.
Serangan dan cabaran yang dibawa oleh profesion Jurukur Bahan dan Perancang Bandar sebelum ini akan membuka mata profesion-profesion lain pula untuk mencuba nasib mereka. Tidak mustahil mereka akan berjaya jika mereka disokong oleh golongan lobi yang kuat, mempunyai bukti yang kukuh atas kelemahan arkitek serta berjaya menjuruskan pendapat awam dan politik (public and political opinion) kepada masalah tersebut. Arkitek hari ini mempunyai tugas berat mempastikan penghormatan awam dan perundangan yang diberikan kepada profesion tidak akan dipudarkan oleh permasalahan dalaman antara arkitek, kealpaan pengamal praktis dan seterusnya melaksanakan apa saja langkah yang perlu untuk mengekalkan kedudukan mereka sebagai pemimpin industri. Tanpa gerakan profesionalisme dan perhubungan awam yang mantap, cabaran dan serangan ini akan terus berulang.
Dalam masa yang sama, hak-hak dan kewajiban yang dipertanggungjawabkan oleh undang-undang kepada Arkitek dibawah beberapa Akta seperti Akta Pemaju Perumahan 1966 (Akta 118) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan misalnya mestilah diterima dengan penuh tanggungjawab dan dipelihara. Tanggungjawab untuk mengesahkan Sijil Kemajuan Kerja dibawah Akta 118 yang eksklusif kepada Arkitek dan Jurutera misalnya sedang dilobi secara aktif untuk dibuka kepada profesion lain seperti Penilai, Jurukur Bahan dan Peguam. Melepaskan tanggungjawab ini akan mengembirakan banyak pihak lain dan akibatnya adalah penghapusan penghormatan kepada kita. Tindakan keras oleh Lembaga Arkitek melalui Pekeliling 1 2002, yang menegaskan tindakan penggantungan dan pembatalan pendaftaran Arkitek yang melakukan kesalahan adalah satu tindakan yang biarpun keras tapi wajar untuk memelihara keutuhan profesion seluruhnya.
Antara tindakan defensif yang boleh diambil adalah;
1. Pindaan undang-undang khususnya Perkara 8 dalam Akta Arkitek 1967 agar memasukkan segala fungsi tradisi Arkitek sebagai Hak di bawah undang-undang.
2. Kesediaan untuk mengesan penggubalan Akta-akta baru yang melibatkan profesion secara langsung atau tidak langsung dan mempastikan agar kelangsungan hak Arkitek dipertahankan dan tidak dihapuskan.
3. Gerakan perhubungan awam yang baik di setiap peringkat masyarakat serta penggunaan media komunikasi yang dapat menyampaikan mesej profesion kepada awam.
4. Perwakilan profesion yang dihormati diperingkat pembuat dasar dan undang-undang.
5. Tindakan kawalan dalaman dan disiplin ke atas keahlian yang menyeleweng agar nama baik profesion dipertahankan.
2.5 Satu saranan penyelesaian
Perubahan adalah satu-satunya ketetapan dalam kehidupan [Change is the only constant in life]
Apa juga masalah dan cabaran yang dihadapi oleh praktis kesenibinaan hari ini berpunca daripada kita sendiri. Reput umbi yang memakan masa sekian lama tidak mungkin dapat diubat pulih dalam sehari. Dan tidak akan mudah untuk kita menghadapi cabaran ini tanpa kita pertamanya mengenalpasti kelemahan dan kekuatan diri. Kita lihat dimana kita dengan analisis SWOT (strength, weakness, opportunity, threat) yang ringkas.
2.5.1 Kekuatan (strength)
Profesion kesenibinaan boleh berpegang kepada kekuatan (1) sejarah yang lama dan baik, (2) perlindungan undang-undang, (3) organisasi yang ujud dan teratur, (4) keahlian yang ramai dan berkepentingan dan (5) hak-hak dan peranan yang tergaris dengan jelas dalam Akta. Kekuatan ini memberikan kita 'head-start' yang baik kalau kita mahu meneruskan perlumbaan dan tidak tidur di tengah jalan seperti arnab dalam kisah perlumbaan arnab dengan kura-kura.
2.5.2 Kelemahan (weakness)
Kita menghadapi kelemahan akibat daripada (1) pergantungan yang melampau kepada undang-undang sehingga kita beranggapan bahawa kerusi kepimpinan kita tidak mungkin digoncang, (2) perbalahan dalaman dan perebutan kuasa dalam organisasi sehingga kita mengabaikan kepentingan besar untuk kepentingan kelompok-kelompok peribadi, (3) keahlian yang bersikap sambil-lewa dan tidak sehati dalam perjuangan dan (4) kegagalan mengenalpasti ruang-ruang yang berhadapan dengan serangan dan perubahan.
2.5.3 Peluang (opportunity)
Dengan segala kekuatan yang ada, kita mempunyai peluang pertamanya untuk meneruskan peranan kita serta mencari dan mencipta peluang baru. Peluang terbuka untuk (1) mempertahankan peranan sediada. (2) memperkokohkan peranan tersebut agar bebas dari ancaman perubahan, (3) mempastikan perubahan yang tidak dapat dielakkan daripada menghapuskan peranan dan 'status-quo' semasa, (4) melakukan tindakan awalan (pre-emptive) dengan mendepani dan mengetuai perubahan.
2.5.4 Ancaman (threat)
Profesion kita akan terus berdepan dengan (1) ancaman dari kalangan profesion lain, (2) ancaman dari tuntutan industri, (3) perubahan yang dibawa oleh globalisasi, (4) ancaman dunia siber tanpa sempadan, (5)ancaman dalaman yang timbul dari pengamal yang kecewa dan mendahului perubahan tanpa mengira kepentingan praktis keseluruhannya dan tidak kurang pentingnya (6) ancaman dari penentang perubahan.
Cabaran kepada profesion kesenibinaan adalah sesuatu yang beterusan. Ia telah, sedang dan akan terus berlaku. Menangani cabaran ini hanyalah dengan menerima hakikat bahawa perubahan adalah satu kepastian dan mendepani perubahan adalah satu kemestian dan kewajiban. Di tangan kita, pengamal praktis kesenibinaanlah masa depan kita.
Izinkan saya menambah khusus untuk anda semua, di tangan arkitek muda masa depanlah terpikul tanggungjawab yang besar dan murni ini.
Nasharuddin bin Haji Abdul Majid A.P.A.M, ACiARB
Kemaskini terakhir 10.06.2002
1 Comments:
This comment has been removed by the author.
Post a Comment
<< Home